Sehingga kini, cara jangkitan 2019-nCoV masih tidak diketahui dengan jelas. Kes yang dikesan didapati mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas. Terdapat bukti yang menunjukkan berlakunya penularan dari seorang individu kepada individu yang lain (human-to-human transmission), khususnya dalam kalangan kontak rapat.

Orang ramai adalah diingatkan untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan berikut, khususnya kepada para pengembara semasa berada di negara China dan selepas pulang ke Malaysia:

• Selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer);

• Semasa dalam tempoh lawatan, sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (face mask) serta bahan pencuci tangan (hand sanitizer) untuk digunakan apabila perlu;

• Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan dari mengunjungi tempat tumpuan ramai dan bergaul rapat dengan mana-mana individu yang bergejala;

• Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan dari melawat ke ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan;

• Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan dari memakan sebarang produk haiwan mentah / tidak dimasak dengan sempurna;

• Segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya jatuh sakit (iaitu mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas) dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan tersebut. Begitu juga, maklumkan mengenai sejarah perjalanan berkenaan kepada doktor yang merawat.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.