SEJARAH RINGKAS / ASAL USUL RAMBAH

 

 Motto: "BERSATU MAJU, BERSIH HARMONI DAN BERDAYA SAING"

 

Dipercayai nama Rambah berasal dari perkataan Jawa ‘rambah’ yang bermaksud meneroka dan membuka kebun.  Ini disebabkan pada tahun 1870an dan 1880an, kawasan ini adalah kawasan yang diteroka dan dibuka oleh Syed Muhammad Alsagoff yang mendapat hak konsesi membuka kawasan Kukup dari Sultan Abu Bakar Johor.  Beliau banyak menggunakan tenaga buruh dari tanah jawa.  Besar kemungkinan buruh-buruh jawa inilah yang turut sama ‘merambah’ atau meneroka kebun di kawasan ini dan selalu menyebut-nyebut perkataan ‘rambah’ sesama mereka.  “Aku arep lungo merambah” (aku hendak pergi meneroka kebun).  Pendapat lain pula mengatakan bahawa perkataan ‘rambah’ berpunca dari perbuatan mengambil daun tumbuh-tumbuhan dengan cara menebas atau menebang.  Dalam Kamus Dewan, perkataan ‘rambah’ bermaksud: 1. Menebas, menebang (pokok, tumbuh-tumbuhan), 2. Meneroka (membuka) hutan, merintis (jalan), 3. Metampat (memarang, memukul, menembak, menyebat, dll)

 

(Sumber:  http://pontian.pjl.com.my/setempat.htm)

 

 

SEJARAH RINGKAS / ASAL USUL PONTIAN

 

Flag of Pontian Johor.svg

 

Perkataan Pontian dikatakan berasal dari kata ‘Perhentian’. Perhentian yang dimaksudkan itu ialah Sungai Pontian Besar, tempat berteduh dari gelora Selat Melaka bagi kebanyakan para pelayar yang hendak ke Singapura atau ke Melaka. Ada yang menyebutnya sebagai tempat perhentian para lanun untuk menunggu mangsa yang melintasi kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, kuala Sungai Pontian Besar adalah tempat perhentian nelayan memunggah tangkapannya, sementara Pontian Kecil menjadi Bandar utama bagi daerah Pontian.

 

(Sumber: http://www.johor.gov.my/pelancongan/page/asal_usul_nama_tempat)

 

 

SEJARAH RINGKAS / ASAL USUL JOHOR

 

2000px-Flag of Johor.svg

Asal usul perkataan Johor diambil dari perkataan Arab “Jauhar” yang bermaksud “Permata Berharga”. Pengaruh Arab jelas kelihatan di mana para pedagang dari Arab telah datang ke sini bagi menjalankan perniagaan rempah yang sememangnya terkenal pada suatu ketika dahulu. Johor juga dikenali sebagai Hujung Tanah atau “Gangganu” oleh orang-orang Siam yang bermaksud “Batu Permata”. Pembukaan negeri Johor bermula pada awal kurun ke-16 apabila Melaka telah ditawan oleh Portugis. Sultan Mahmud Syah yang merupakan pewaris terakhir takhta kerajaan Melaka telah melarikan diri dan membuka kerajaan Johor. Pada waktu itu, Johor telah meluaskan empayarnya sehingga ke Riau.

Sejarah Johor moden bermula di bawah pemerintahan Sultan Abu Bakar. Baginda telah ditabalkan menjadi sultan pada tahun 1866 seterusnya memegang gelaran “Seri Maharaja Johor”. Sultan Abu Bakar telah memperkenalkan Perlembagaan Johor seterusnya membawa perubahan dalam pentadbiran negeri Johor yang lebih efisyen. Perpindahan pusat pentadbiran kerajaan Johor di Teluk Belanga ke Tanjung Puteri pada tahun 1841 memberi kesan yang positif kepada Johor terutamanya dari segi pembangunan. Pembinaan bangunan kerajaan, balai polis, masjid, mahkamah dan istana besar jelas membuktikan Sultan Abu Bakar berhak menerima gelaran sebagai “Bapa Pembangunan Johor”. Kini, Johor yang disempadani oleh Melaka, Pahang dan Singapura merupakan salah sebuah negeri yang pesat membangun dan maju di Malaysia.

 

(Sumber: http://www.johor.gov.my/pelancongan/page/sejarah_penubuhan_johor)